SWeeT JaLiNaN KaSiH TerBiNa.....

Wangian Kasturi Al-Khausar (yang sakit dirawati yang sihat dilindungi)

Saturday, April 28, 2012

Persediaan Menghadapi Peperiksaan....

Assalamualaikum...

Khaifa halukum jami'an.........
Alhamdulillah... masih mampu untuk melihat dunia ciptaan Allah yang cantik ini...
disebabkan tinggal beberapa hari je lagi nak menghadapi exam..
jadi Cik NY nak share lah sikit persediaan ni...
Cik NY share je dari blog Nota Fikir....
ni pun untuk persediaan Cik NY jugak.......
selamat beramal semua


1. Memilih kawan yang sesuai
Di saat ini sangatlah kritikal untuk memiliki kawan yang sesuai dengan persediaan kita menduduki peperiksaan. Kawan yang sesuai adalah kawan yang memahami bahawa kita dalam persediaan menghadapi peperiksaan, maka dia tidak membawa kita kepada kelalaian, membuang masa dan tidak juga mengusik hati kita. Kawan yang baik juga akan membantu kita memberikan keadaan yang selesa dalam pembelajaran dan membantu bila perlu.
2. Mengutamakan nota pendek
Telah kita belajar sekian lama maka tidak punya masa lagi untuk mengulangkaji dengan membaca seluruh buku teks tetapi nota-nota ringkas adalah bantuan terakhir bagi mengingat kembali segala apa yang kita pelajari. Peta minda mudah membantu dalam mengulangkaji ini.
3. Masa untuk meluahkan apa dipelajari.
Ada kalanya kita memahami apa kita pelajari tetapi sukar untuk menyampaikannya kembali dalam bentuk jawapan. Maka dsyorkan bahawa di saat akhir ini adalah penting untuk kita berlatih bercerita dan menulis kembali apa yang kita fahami dan pelari. Cara lain adalah dengan menjawap soalan-soalan tahun-tahun lepas dan soalan contoh agar kita terbiasa dengan mengeluarkan segala ingatan dan fahaman kita. Ingatlah peperiksaan adalah medan untuk meluahkan segala apa kita pelajari.
4. Menjaga Hubungan Dengan Manusia dan Alam
Menjauhkan diri dari melalukan kezaliman terhadap orang lain, haiwan dan alam. Jadilah manusia yang baik mulai dari hari ini. Semoga dengan kebaikan kita lakukan, maka kebaikan juga kita perolehi. Termasuklah kita tidak mencela orang lain terutamanya para guru kita. Hubungan dengan ibu bapa teramat penting untuk dijaga. Perbaikilah hubungan kita sesama manusia dan alam agar kita memperoleh keyakinan yang terbaik kerana manusia yang memiliki rasa salah pada orang lain dan manusia yang tidak disukai oleh orang lain adalah manusia yang sering memiliki keyakinan yang lemah dan low-esteem.
5. Rehat yang Mencukupi
Ada para pelajar yang sangat berusaha hingga ke saat-saat terakhir tanpa menghiraukan kesihatannya. Otak memerlukan tenaga yang cukup untuk berfikir dan mengingati segala memori. Maka, wajar untuk tidak terlalu membebankan badan di hari-hari menghampiri peperiksaan. Dapatkah tidur dan rehat yang cukup. Jika bersedia, hanya ambil satu atau dua jam sahaja pada malam peperiksaan untuk menelaah kembali dan terus rehat. Berehat tidak bermaksud berhibur. Rehat yang cukup juga tidak bererti mengambil pil-pil untuk berjaga dan memberi tenaga. Ini sangat tidak digalakan kerana pil-pil seumpama ini boleh melemahkan keupayaan minda.
6. Mengelak Kecelakaan dan Menjaga Kesihatan
Elak mengambil masa di luar rumah atau di jalanan terlalu lama. Ini dapat mengurangkan risiko mendapat kecelakaan. Berdoa agar Allah memberi kebaikan pada kamu. Makanlah dengan makanan yang seimbang dan sihat. Sayur-sayuran dan buah-buahan adalah amat penting bagi memberi vitamin yang cukup ke otak. Kismis dan madu adalah amalan kesihatan yang baik. Jika kesihatan terganggu, jangan membuang masa dan terus berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.
7. Memohon Guru/ Pensyarah Halalkan Ilmu
Melangkahlah ke dewan peperiksaan dengan ilmu yang dihalalkan oleh para guru/pensyarah. Jangan lupa kita juga punya guru iaitu kawan-kawan yang mengajar kita. Mohonlah mereka halalkan ilmu yang mereka ajari kita. Semoga dengan cara ini, kita peroleh doa dari mereka dan keyakinan kita bertambah.
8. Doa & Qiamulail
Jangan tunggu sekolah untuk menganjurkan malam qiamulail dan majlis bacaan yaasin untuk mula berdoa. Malah seharusnya kita sebagai pelajar harus selalu bijak untuk mengatur jadual dan pilihlah malam yang sesuai untuk qiamulail dan berdoa hajat pada Allah. Jangan jemu berdoa kerana Allah sangat gemar hambanya yang berdoa padaNya. Bertaubatlah dengan segala kesalahan yang kita lakukan. InsyaAllah dengan pembersihan jiwa sebegini, kita menjadi seorang yang lebih berkeyakinan.
9. Sedekah
Keluarkanlah sekadar termampu sedekah. Jadikanlah ini amalan dan rancanglah kewangan kamu. Meskipun kamu masih bergantung pada wang pemberian ayah dan ibu, tidak bermaksud kamu tidak boleh bersedekah. Mungkin hanya sebiji gula-gula atau seteguk air, itu sudah mencukupi sekadar sedekah yang termampu terutamanya pada hari peperiksaan. Ini kerana Allah memberi kebaikan kepada mereka yang bersedekah. Semoga salah satu kebaikan itu adalah kemudahan dalam menjawap soalan dan memperoleh kejayaan.
10. Restu Ayah dan Ibu
Terakhir dan terpenting adalah mendapatkan restu ayah dan ibu. Jangan melangkah ke dewan peperiksaan tanpa restu ayah dan ibu. Salam dan ciumlah tangan mereka setiap hari ke dewan peperiksaan. Bagi mereka yang berjauhan, telefonlah kepada ayah dan ibu sebelum hari peperiksaan. Ucapkanlah pada ayah dan ibu “doakan saya, restukan saya.”
Insya-Allah, sama-sama kita doakan kita berjaya dalam peperiksaan dan menjadi umat yang berilmu serta beramal dengan ilmu yang bermanfaat. Semoga pesanan ini bermanfaat.
apa yang di share ni mmg bagus tapi kadang2 Cik NY sendiri susah nak ikut.....
semoga kita dapat sama melaksanakan...
sekian dari Cik NY...
wassalam........


Imtihan around the coner......

Assalamualaikum.....

Khaifa halukum jami'an......
alhamdulillah masih diberi peluang untuk terus bernafas...
kesibukkan menyebabkan Cik NY agak sukar untuk mengemaskini blog ni...
maaf ye....

bila sebut imtihan around the corner je dah boleh faham dah....
sibuk wat persediaan akhir menghadapi exam....
semua orang sentiasa mahukan yang terbaik btul tak....
okey2 cukup lah tu .... straigh to the point....

sebenarnya Cik NY nak memohon segala ampun dan maaf...
buat mereka yang pernah Cik NY sakiti dan lukai ,
sama ada secara sedar atau tidak.....
maafkan Cik NY ye....
Cik NY hanya insan biasa yang tidak lari dari melakukan dosa...

halalkan makan minum Cik NY...
maklum jelah Cik NY ni boleh tahan jugak kuat makan...
dah tu bila pagi buta cari mkn ape y ade Cik NY makan...
sorry klau terlebeh mkn......

mcm umum n ringkas sgt je...
nak special sikit lah.......
sudi lah membacanye ye.....


Khas buat Emak dan Ayah
anakmu ini rindu padamu...
hanya gambar dan suara pengubat rindu yang bersarang dalam jiwa....
hanya doa dapat dikirim moga dalam keadaan baik sentiasa...
kemaafan ku pohon dikejauhan ini... ( jalok ngapuro yo)
mengharap restu dan doa...
agar anakmu ini tenang dan diberi kemudahan dalam menjalani peperiksaan.....



buat semua lecture2 yang sabar melayan kerenah Cik NY
terima kasih banyak2 ye....
halalkan ilmu yang dicurahkan...
nantikan kedatangan Cik NY sepajang study week nanti ye...
banyak soalan yang Cik NY nak tanye..
macm nilah jadinye bila kurang fokus dalam kelas...
bukan x fokus tapi agak lambat nak faham.....

buat sahabat-sahabat2...
terima kasih atas segala bantuan kalian semua
walaupun kita lain stage tapi anda sudi membantu
pertolongan anda tidak mampu untuk ku balas....
halalkan semua ye tak de terkurang dan lebih....
maafkanlah semua kesalahan dan kesilapan yang telah Cik NY lakukan pada anda semua.....
hanya doa dapat dipanjatkan ikhlas dari seorang sahabat.....

buat kawan2 dan adik2ku semua...
maaf kerana Cik NY byk kerenah...
maaf x jalankan tanggungjawap degn baik.....
terima kasih bagi mereka yang ikhlas dan sudi membantu...
yang x ikhlas Cik NY x kesah...
tu terpulang pada kamu....
Cik NY terima lah yang termampu.....

kita saling memaafkan ye...
bagi Cik NY  kalian tiada salah dan silap ..
kalau ada pun mungkin dah lupakan....
tiada dendam yang tersimpan dalam hati ini...
semua kesalahan jika ada yang anda lakukan Cik NY dah lme maafkan...
hanya mampu mendoakan agar kalian sentiasa diberi ketenang dan kemudahan....
itulah yang mampu Cik NY beri....
nak kongsi ilmu ... Cik NY x sepandai kamu semua....
tapi Cik NY bersyukur sebab anda sudi membantu Cik NY sekadar yang kalian mampu...

banyak pulak keluar ayat touching....
maaf ye....

akhir sekali...
semoga kita semua diberi kemudahan dan ketenangan dalam menjalani peperangan yang tidak lama lagi akan bermula......



segala yang baik itu datang dari Allah ...
dan segala kesalahan dan kekhilafan itu datang dari diri Cik NY sendiri....
mmafkan segala salah dan silap ..
jangan bermuram durja...
senyum2 selalu....
moga bahagia sentiasa mengiringimu....
*sempat lagi bermadah tu....
Wassalam...........
~terima kasih sudi membaca~

Saturday, April 21, 2012

Khas Buatmu sahabatku......

Assalamualaikum.....

khaifa halukum jami'an...
Alhamdulillah diri ini masih diberi peluang untuk mencoret, masih lagi rasa nikmat menghirup udara , manalah tau ini mungkin coretan terakhir , siapa tahu..... hanya Allah yang tahu.... kamu semua sah-sah lah memang tak tahu kan...... baiklah..... ini merupakan luahan hati tulus ikhlas dari seorang sahabat buat sahabatnya.....

seorang sahabat sentiasa dapat merasai dan dapat membaca gerak geri sahabatnya.... walaupun tidak terkeluar melalui tutur kata tapi ianya akan terluah melaui perbuatan , gerak badan dan bahasa tulisan... walaupun kita anggap ianya suatu perkara yang biasa dan kita cuba untuk sembunyikan tapi bagi sahabat kita ianya mempunyai mksud yang tersirat.... kerana perasaan itu Allah telah beri kepada mereka yang benar-benar merasai hubungan persahabatan melalui kasih Allah...



duhai sahabatku yang ku sayangi....
ku mengharapkan kemaafan darimu jika aku tidak sengaja telah melukakan hatimu dan membuatkan kamu marah terhadap diriku...... aku mengerti akan perasaanmu.... kerna aku juga pernah merasakannya..... aku amat malu pada kamu kerna kebaikkanmu kerna kesabaranmu melayanku dan keikhlasanmu membantuku... kau sentiasa hadir dalam hidupku tatkala aku perlukan seseorang disampingku untuk meluahkan segala masalah..... apa yang kamu lakukan padaku tidak pernah kamu ungkit.... tidak pernah meminta sebarang balasan.......

Ya Allah..... aku malu pada sahabatku.... aku terlalu kejam .... aku menyakiti hatinya... aku sering mengabaikannya.... walaupun begitu dia masih setia disisi aku.... segala yang diberikan padaku tidak ternilai harganya... aku malu......

wahai sahabatku...
ku mengharapkan kebahagiaan yang kita kecapi biarlah berpanjangan ..... walaupun badai yang dasyat bakal melanda dan menguji hubungan persahabatan kita.... aku harap kita berjaya melaluinya.... jangan hanya kerana perkara yang kecil kita bertengkar dan kerana mereka yang cemburukan keakraban kita sehingga membuat cerita yang menyebabkan timbul prasangka antara kita.....

sahabatku....
semoga kita terus kekal sebagai sahabat sehingga ke syurga ya..... aku mahu kamu jadi sahabatku dunia dan akhirat.... selalu orag kata BFF.... but I really want you to remember this word....

BEST FRIEND FOREVER UNTIL JANNAH.......


sekian dari sahabatmu.....
maaflah diri ini tidak pandai untuk bermadah...
hanya ini yang mampu ku ungkapkan ......
Sayang dan Rindu kamu kerana Allah......



okey tak surat ni.....
tapi tak jiwang pun....
maklum jelah yang menulisnye ni pun hanya insan biasa...
tidak pandai untuk berpuitis....
hanya ini termampu untuk mencoret.....
bimbang merembes air mata jika terus menulis .....
sahabat sejati sentiasa disisi dan doanya sentiasa buat sahabat yang selalu diingati kerana Ilahi....
ukhuwah fillah.....

sekian dari Cik NY ....
Wassalam.....


Friday, April 20, 2012

KeBeRkATaN ILLaHI....: AYAT SURAH AS-SYAMS (1-15)

Assalamualaikum

khaifa halukum jami'an.....
hari ni Cik NY nak share mengenai ayat  Surah As-Syam....
mungkin kita selalu bace ..
tapi kita tak menghayati makna dan tidak mengetahui cerita disebalik surah ini...
jadi marilah bersama menghayatinya......

Ilmu dah ambik jadi Cik nak ucap Terima kasih kerna memberi ilmu yang bermanfaat....
terima kasih atas perkongsian dari blog dibawah ni... klik ye....

KeBeRkATaN ILLaHI....: AYAT SURAH AS-SYAMS (1-15)


AYAT SURAH AS-SYAMS (1-15)

PENDAHULUAN
Surah ini adalah surah makkiyah yang mengandungi 15 ayat. Surah ini dinamakan al-syams (matahari) kerana pada permulaan surah ini Allah s.w.t. bersumpah dengan matahari yang terang lagi menyinari seluruh ufuk dikala siang. Surah ini berkisar sekitar dua perbahasan utama iaitu: Allah bersumpah dengan ciptaan alam ini yang hebat samaada dialam maya ataupun bumi, dan perantaraan untuk memikirkan kehebatan ini adalah jiwa manusia itu sendiri. Manusia memainkan peranan penting dalam membersihkan jiwa dan membiasakan dengan akhlak mulia supaya ia berjaya dan terselamat. Sekiranya manusia cuai dan membiarkan jiwanya mengikuti nafsunya maka ia akan rugi. Yang keduanya ialah Allah s.w.t. menampilkan contoh dalam hal ini dengan kaum thamud, iaitu kaum yang membiarkan jiwa mereka kotor.
Mereka cuai mengasuhnya (jiwa mereka). Mereka menurut kemahuan nafsu yang bermaharajalela. Akibatnya mereka ditimpa oleh hukuman-hukuman Allah yang keras dan Allah membinasakan mereka didunia ini lagi.

AYAT SURAH AS-SYAMS

والشمس وضحها(1) والقمر أذا تلها(2) والنهار أذا جلها(3) واليل أذا يغشها(4) والسماء وما بنها(5) واللأرض وما طحها(6) ونفس وما سوها(7) فالهمها فجورها وتقوها(8) قد افلح من زكها(9) وقد خاب من دسها(10) كذبت ثمود بطغوها(11) أذا نبعث أشقها(12) فقال لهم رسول الله ناقة الله وسقيها(13) فكذبوه فعقروها فد مدم عليهم ربهم بذنبهم فسوها(14) ولا يخاف عقبها(15)
“Demi matahari dan cahayanya di pagi hari(1) dan bulan apabila mengiringinya(2) dan siang apabila menampakkanya(3) dan malam apabila menutupinya(4) dan langit serta pembinaanya(5) dan bumi serta pemhamparannya(6) dan jiwa serta penyempurnaanya(7) maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu kefasikan dan ketakwaannya(8) sesungguhnya beruntunglah orang yang mrnyucikan jiwa(9) dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya(10) thamud telah mendustakan kerana mereka melampaui batas (11) ketika bangkit orang yang paling celaka diantara mereka(12) lalu Rasulullah berkata kepada mereka, “ (Biarkanlah) unta betina Allah dan minumannya.”(13) lalu mereka medustakannya dan menyembelih unta itu, maka Tuhan telah membinasakan mereka disebabkan dosa mereka, lalu Allah menyamaratakan mereka(14) dan Allah tidak takut terhadap akibat tindakan-nya itu.,(15)
HURAIAN AYAT 1-10 SURAH AL-SYAMS
Ayat pertama dan kedua: dengan matahari dan bulan melalui firma-Nya (bermaksud) “ Demi matahari dan sinar cahayanya dipagi hari, demi purnama apabila mengiringinya.” (al-syams, 91: 1-2).
Allah s.w.t. bersumpah dengan matahari yang terang benderang cahayanya samaada ia terbenam atau terbit. Ini kerana matahari adalah ciptaan Allah yang hebat. Dia bersumpah dengan cahaya matahari diwaktu dhuha iaitu waktu pagi tatkala sinar matahari mula panas terik dan sempurna cahayanya, ini kerana diwaktu inilah bermulanya segala kegiatan kehidupan.
Allah s.w.t. juga bersumpah dengan bulan yang bercahaya apabila ia mengiringi matahari tatkala terbenam terutama di malam-malam al- Baidh iaitu malam tiga belas hingga enam belas apabila bulan penuh purnama sehingga fajar. Allah bersumpah dengan cahaya bulan seluruh waktu malam.
Ayat ke tiga dan keempat: Allah s.w.t. bersumpah demi siang dan malam melalui firma-Nya( bermaksud): “Demi siang apabila (semakin) terselah cerah, demi malam apabila menengelamkan cahayanya.” (al-syams, 91:3- 4).
Allah s.w.t. bersumpah dengan siang apabila terang cahaya matahari dan menampakkan segala-galanya, siang hari dianggap sempurna apabila jelas kelihatan matahari. Allah seterusnya bersumpah dengan malam apabila matahari diliputi dan dibaluti cahayanya dengan kegelapan, maka hilanglah sinar dan terbenamlah matahari. Apabila ini berlaku gelaplah separuh bumi dan matahari terbit diseparuh yang lain. Pertukaran dan perubahan ini merupalan satu penafian terhadap golongan musyrikin yang mempertuhankan bintang-bintang, dan golongan menyembah berhala yang menyatakan sesungguhnya bagi alam ini ada dua tuhan, iaitu tuhan cahaya dan kegelapan, kerana tuhan sebenarnya tidak akan hilang dan tidak akan bertukar keadaannya.
Ayat kelima dan keenam: selepas ujian mengenai kehebatan kejadian alam, Allah menyebut pula sifat alam yang baru (huduth) melalui firman-Nya: “ Demi langit serta pembinaanya, demi bumi serta penghamparannya.” (al-syams, 91:5 –6).
Allah s.w.t. bersumpah demi langit dan bumi sebagaimana maksud ayat yang tersebut di atas, iaitu Allah s.w.t. bersumpah dengan langit dan pembinaannya dari bintang-bintang, seolah-olah setiap bintang itu merupakan binaan yang menutupi atap langit, atau seperti kubah yang meliputi bumi dan segala isinya.Allah juga bersumpah dengan bumi, iaitu planet yang permukaannya yang terbentang luas dan sesuai untuk di diami manusia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan bumi sesudah itu dihamparkan.” (al-nazi’at,79:30) iaitu Allah menjadikan muka bumi terbentang lapang, kemudian manusia mengambil manfaat dari permukaan bumi melalui tumbuh-tumbuhan serta dari perut bumi melalui segala bahan galian dan kekayaanya. Ayat yang serupa dengan ayat ini ialah firman Allah yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap.” (al-Baqarah,2:22)
Ketujuh: Apabila Allah s.w.t. mengakhiri sumpahnya dengan jiwa (diri) manusia yang mana Allah menjadikan segala isi bumi ini adalah kerananya. Segala kejadian ini adalah untuk manfaat kepada manusia dan sebagai wasilah kearah ketinggian dan kemajuan hidup. Allah telah berfirman yang bermaksud: “Dan jiwa serta penyempurnaanya (ciptaannya) maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu kefasikan dan ketakwaan”. (al-syams 91:7-8)
Allah mengajar dan memberi panduan kepada manusia tentang cara melalui jalan kebaikan dan menghindari jalan kejahatan. Seterusnya Allah berfirman lagi dengan firmannya yang bermaksud : “Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwanya dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya”. (al-syams 91:9-10)[1]
HURAIAN AYAT 11 – 15
Kisah kaum Thamud dengan nabi Soleh a.s. telah diterangkan di beberapa tempat dalam al-Qur’an dan paling dekat ialah dalam surah al-Fijr dalam juzu’ Amma. Allah menerangkan bahawa kaum Thamud telah mendustakan rasulnya dengan sebab perangai mereka yang kejam dan melampau. Sifat keterlaluan inilah yang menyebabkan mereka mendustai nabi mereka. Ini dapat dilihat dalam tindakan seorang yang paling jahat dari kalangan mereka, dialah yang menyembelih unta mukjizat. Dialah yang paling celaka dan paling malang kerana dosa yang besar yang dilakukannya.
Nabi Soleh telah memberi amaran kepada mereka sebelum mereka melakukan kekejaman itu. Nabi Soleh juga mengingatkan mereka supaya jangan menyentuh unta Allah atau merampas air yang telah ditentukan oleh Allah untuk unta itu sehari dan untuk mereka sehari sebagaimana yang telah disyaratkan ke atas mereka apabila mereka menuntut bukti dari Allah, dan Allah telah menjadikan unta itu sebagai mukjizat. Tetapi kaum Thamud tidak percaya kepada amaran nabi Soleh. Tindakan menyembelih unta itu telah dilakukan oleh seorang yang paling jahat daripada kalangan mereka, tetapi seluruh mereka bertanggungjawab atas tindakan itu. Ini merupakan salah satu dasar-dasar pokok Islam mengenai konsep tanggungjawab sosial dalam kehidupan manusia. Dasar ini tidak bercanggah dengan dasar tanggungjawab individu mengenai balasan Akhirat, dimana tidak ada orang yang memikul dosa orang lain. Menurut dasar ini adalah berdosa meninggalkan kerjasama, nasihat-menasihati, Bantu-membantu, dan mencegah mereka yang hendak melakukan yang kejam dan jahat.[2]
KISAH KAUM THAMUD
Kaum Thamud merupakan satu bangsa yang terkenal dalam sejarah. Nama Thamud dinisbahkan kepada nenek moyang mereka yang memang bernama Thamud. Dia adalah anak saudara Judais. Kedua-duanya adalah anak Athir bin Iram bin Saam bin Nuh a.s.mereke tergolong dalam bangsa Arab, etnik Aribah. Mereka tinggal di Hajar, sebuah wilayah yang terletak antara Hijaz dan Tabuk. Rasulullah s.a.w. pernah melalui tempat itu ketika berangkat ke Tabuk bersama kaum, muslimin. Kaum Thamud dikenali sebagai kaum penyembahan berhala. Zaman mereka selepas kaum Aad.
Untuk membawa mereka ke jalan yang lurus Allah s.w.t. telah mengutuskan seorang lelaki dari kalangan mereka sendiri. Beliau bernama Soleh bin Ubaid bin Maseh bin Ubaid bin Hadir bin Thamud bin Athir bin Iram bin Saam bin Nuh a.s. Beliau adalah hamba Allah s.w.t. dan rasul-Nya. Kedatangan beliau dengan memikul tanggungjawab dan tugas untuk menyeru mereka agar menyembah Allah s.w.t. sahaja dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Mereka diseru supaya meninggalkan berhala-berhala yang mereka jadikan untuk penyembahan bagi kaum mereka.
Mejoriti masyarakat mengikuti seruan nabi Soleh, tetapi tokoh-tokoh mereka tetap berpegang dengan kekafiran. Dakwah disampaikan kepada mereka melalui dua kaedah iaitu: ucapan dan tindakan. Namun mejoriti dari kaum tersebut tidak mahu menerima. Malah mereka ingin membunuh nabi Soleh. Langkah pertama yang mereka lakukan untuk menunjukkan tentangan mereka terhadap nabi Soleh ialah membunuh unta peliharaan beliau yang dijadikan oleh Allah s.w.t. sebagai bukti kenabiaan beliau. Tindakan itu dijawab oleh Allah s.w.t. dengan mengirimkan azab yang menghancurkan mereka.
Kisah kaum Thamud ada diterangkan dalam beberapa ayat lain dalam al-Qur’an, iaitu dalam surah yang berbeza, antara lain dapat dilihat dalam surah al-A’raf: 73-79, surah Hud: 61-68, surah an-Naml:45-53, surah Hijr:80-84, surah al-Isra’:59, surah asy-syu’ara:141-159, surah Fushilat: 17-18, surah al-Qamar: 23-32 dan surah Ibrahim: 8-9. Yang istimewanya kaum Thamud ialah selalu disebut bersama kaum Aad. Hal ini dapat diperhatikan melalui ayat dalam surah Bara’ah(at-Taubat), surah Ibrahim, surah al-Furqan, surah Shad, surah Qaf, surah an-Najm dan surah al-Fijar.
Pada perengan sebelum ini telah diceritakan bahawa kaum Thamud adalah sebahagian dari bangsa Arab Aribah. Mereka lahir selepas kaum Aad. Tetapi mereka tidak mengambil iktibar dan pengajaran dari kaum Aad. Oleh sebab itu, nabi Soleh a.s. mengingatkan mereka supaya menyembah dan tidak menyekutukan Allah s.w.t., tidak mengusik unta yang diberikan oleh Allah kepadanya sebagai bukti kenabiaannya. Mereka juga di ingatkan agar mengingati kenikmatan-kenikmatan yang diberikan oleh Allah s.w.t. Tentang kedudukan yang mereka terima sebagai penganti kaum Aad, yang diberi kemampuan membina gedung-gedung dan membuat rumah-rumah dibawah gunung.
( perkara ini dapat dilihat melalui ayat dalam surah al-Araf, ayat 73-74).
Semua nikmat itu harus diimbangi dengan rasa syukur dalam melaksanakan tindakkan-tindakan yang terpuji, beribadah kepada-Nya, dan tidak menyekutukan-Nya tetapi hal itu tidak dilakukan oleh mereka. Sebaliknya kaum Thamud memberi penentangan yang keras dan menolak dari mentoatinya. Peringatan yang disampaikan kepada mereka sebagai satu pengajaran untuk direnungkan. Nabi Soleh berkata “Wahai kaumku! Sembahlah Allah s.w.t., tidak ada Tuhan bagimu selain Dia. Dialah yang menciptakan kamu dari tanah dan membuatkan kamu membiak didalamnya”. Maksudnya: yang menciptakan kamu dan memberi kamu kemampuan untuk meramaikan semua didunia ini adalah Allah s.w.t. Dia memberi kemampuan untuk bercucuk tanam. Allah s.w.t. apa sahaja yang ada disana dan sekaligus memberi rezeki kepada mereka. Maka selayaknya hanya Allah s.w.t. sahaja berhak disembah dan bukannya yang lain.
Sesungguhnya apa yang disampaikan oleh nabi Soleh a.s. kepada kaumnya lebih lembut dan sebaik-baik tindakan adalah dalam rangka menyeru kepada kebajikan. Dari segi kefahaman secara umumnya Soleh berkata: “ Bagaimana tanggapanmu jika persoalan itu seperti apa yang aku katakan dan aku seru kepadamu diserahkan kepada-Nya. Alasan apa yang akan kamu sampaikan diisi Allah nanti? Apa jaminan kamu ketika dihadapannya, kalau kamu menuntut aku meninggalkan tugas menyeru kepadamu untuk mentoat-Nya? Bagiku tidak mungkin aku meninggalkan kewajipan yang telah dibebankan kepadaku. Andai aku menuruti kamu meninggalkan tugas itu, pastilah tidak pernah ada seorang pun dari kamu atau yang lain, sanggup melindungiku atau menolongku. Aku bertekad tidak akan berhenti menyeru kamu supaya menyembah Allah s.w.t. sahaja, sehingga Dia sendiri membuat keputusan antara aku dan kamu”. Sekali lagi mereka memberi jawapan yang menyakitkan hati. Kali ini mereka menuduh nabi Soleh ahli sihir, sebagaimana yang tersebut didalam surah asy-syu’ara, ayat 153: “ Kamu ini pastilah hanya salah seorang dari tukang sihir”. Menurut para ulama’ ahli tafsir, yang dimaksudkan dengan ‘tukang sihir’ adalah ungkapan sikap dimana mereka tidak memahami maksud seruan atau ajakan yang dilakukan oleh nabi Soleh kepada kaumnya, berkaitan peribadatan kepada Allah s.w.t. dan meninggalkan semua berhala-berhala selain Dia.
UNTA NABI SOLEH
Para ahli tafsir mengatakan bahawa suatu hari kaum Thamud mengumpulkan masyarakat didalam satu pasukan. Dalam pertemuan itu, nabi Soleh turut hadir. Kesempatan itu digunakan beliau untuk menyeru mereka supaya menyembah Allah s.w.t. Nabi Soleh mengingatkan mereka. Beliau memberi petua atau nasihat, peringatan dan perintah kepada mereka. Mereka menjawab: “Baiklah! Tapi buktikan dahulu. Engkau mestilah menciptakan seekor unta yang keluar dari batu-batu yang keras itu”. Mereka mengatakan begitu sambil menunjukkan kearah batu-batu keras yang terdampar dihadapan mereka. Belum cukup permintaan itu, mereka memberi beberapa syarat mengenai sifat-sifat unta itu, yang dilengkapi pula dengan nama dan pangkatnya. Nabi Soleh berkata: “ Bagaimana reaksi kamu kalau aku sanggup memenuhi permintaan itu sesuai dengan tuntutan kamu. Apakah kamu akan beriman terhadap risalah yang aku bawa kepadamu, dan kamu mahu membenarkan ajaran yang aku utuskan untuk membawanya?”. Mereka menjawab: “Ya! Kami akan mengakui kebenaranya”.
Satu perjanjian yang mengikat mereka segera disepakati. Nabi Soleh kemudian bangkit dari tempat duduknya munuju tempat solat. Disitu beliau bermunajat kepada Allah s.w.t. dengan segala kemampuannya. Beliau berdoa memohon kepada Allah s.w.t. supaya mengabulkan tuntutan mereka. Ketika itu juga Allah s.w.t. memerintahkan batu-batu keras dihadapan mereka mengeluarkan seekor unta betina yang besar. Sifat-sifat unta yang sesuai dengan tuntuan mereka.
Apabila mereka melihat kejadian yang amat luar biasa itu, dan ianya sebagai bukti yang amat jelas di hadapan mata mereka sendiri, maka sebahagian diantara mereka terus beriman tetapi ada yang tetap mempertahankan kekafiran, kesesatan dan penentangannya. Oleh sebab itu, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “ Maka mereka mengingkarinya”. Maksudnya, mereka masih menolak untuk mengakui kebenaran itu dan tidak mahu mengikutinya. Namun salah seorang pemimpin mereka yang beriman bernama Junda bin Amru bin Muhlah bin Lubaid bin Juwas, dan setelah menyatakan beriman, dia tetap dengan keislamannya.
Sikap terbuka yang mahu mengakui kebenaran Soleh segera mendapat tentangan dari mereka yang masih enggan menerima risalah nabi Soleh. Penentangan secara terbuka itu dilakukan oleh Zuab bin Amru bin Lubaid dan Habbab, pemilik berhala yang menjadi berhala mereka, Rabab bin Sha’ru bin Jalmas. Dengan keimanannya itu, sepupu Junda yang bernama Syhab bin Khulaifah agar turut bersamanya. Dia termasuk orang yang dihormati dikalangan mereka. Pada mulanya Syhab tertarik untuk beriman, tetapi mereka segera bertindak menghalang niatnya. Dia gagal mengikuti ajakan saudaranya dan cenderung kepada mereka. Dalam perebutan Syhab salah seorang telah menyatakan beriman telah mendendangkan syair. Dia bernama Muhrasy bin Ghunmah bin zamil.
Dengan munculnya mukjizat itu, maka Solewh a.s. berkata: “ Inilah unta milik Allah s.w.t”.(surah Hud:64). Pengembalian unta itu kepada Allah s.w.t. adalah sebagai satu bentuk sandaran tasyrif(pemuliaan) dan ta’zhim(pengagungan). Padanan kalimah itu seperti orang yang berkata: “ Baitullah atau Abdullah?”. Hud berkata seperti yang terdapat dalam ayat yang difirmankan oleh Allah s.w.t. dalam surah Hud, ayaat: 64.
Ketika itu juga sebahagian daripada mereka bersepakat membiarkan unta itu dikawasan mereka. Ia bebaas mencari makanan dimana sahaja dikawasan tanah mereka. Dalam soal minumannya, beliau meminta ketetapan untuk bergilir-gilir selang sehari. Apabila tiba giliran unta nabi Soleh untuik mememinum air perigi, tiba-tiba mereka bertindak dengan meningkatkan keperluan mereka untuk hari esok. Mereka berkata: “ Bagi mereka sudah cukup meminum air susu unta itu”. Sikap ini dibantah oleh nabi Soleh. Beliau berkata: “ Ia mempunyai hak giliran untuk minum dan kamu juga mempunyai hak giliran untuk minum sesuai dengan hari yang ditentukan”. Tindakan menyalahi peraturan itu sebelumnya sudah disebut oleh Allah dalam surah al-Qamar, ayat: 27. maksudnya, kehadiran unta itu menjadi iktibar bagi mereka. Adakah mereka akan beriman atau tetap kafir? Allah s.w.t. lebih mengetahui tindakan yang akan dilakukan oleh kaum Thamud, maka dengan itu nabi Soleh diminta untuk menunggu reaksi mereka dengan hati yang sabar.
Setelah lama unta nabi Soleh berada disitu, para ketua kaum Thamud mengadakan perjumpaan dan menyuarakan hasrat hati mereka untuk memenggal unta nabi Soleh (sembelih). Dengan itu tempat minum binatang ternakan mereka tidak diganggu oleh kehadiran unta itu. Cadangan mereka segera mendapat sambutan syaitan. Mereka dipujuk agar mempercepatkan tindakan mereka. Memang benar, tidak lama selepas kejadian memenggal unta nabi Soleh Allah s.w.t. berfirman dalam ayat ke 77, surah al-A’raf. Dalam peristiwa memenggal unta setiap kelompok mempunyai ketua dan yang bertindak sebagai penyembelih adalah Qadar bin Salaf bin Junda. Ada yang mengatakan bahawa orang itu adalah anak dari hasil hubungan zina. Dia dilahirkan ditempat tidur Salaf dan dia sendiri anak lelaki dari Shaiban. Tindakan Qadar itu adalah berdasarkan pada kesepakatan mereka, kerana itu adalah tanggungjawab yang dipikul bersama.
Ibnu Jarir dan para ahli pentafsir yang lain mengatakan bahawa ada dua orang perempuan dari kaum Thamud, salah satu diantaranya bernama Shaduq. Dia anak perempuan Mahyan bin Zubir bin Mokhtar. Dia adalah dari golongan bangsawan yang kaya. Asalnya dia diperisterikan oleh seorang muslim yang mengikuti Soleh, lalu dia meminta cerai. Shaduq mengundang sepupunya yang bernama Mushra bbin Munhaj bin Mahya. Dia menawarkan dirinya untuk diperisterikan Mushra dengan syarat Mushra harus memenggal unta nabi Soleh.
Adapun perempuan yang kedua pula bernama ‘Unbazah binti Ghanimn bin Mujlaz. Gelarannya adalah ummu Ghunmah. Dia seorang tua yang amat kafir. Dia mempunyai beberapa anak perempuan dari hasil perkahwinannya dengan Zuaab bin Amru, salah seorang ketua kaum Thamud. Perempuan itu menawarkan anak-anak perempuannya kepada Qadar bin Salaf, dengan syarat dia harus memenggal unta itu. Jika berjaya, dia bebas memilih salah seorang diantara anak perempouannya.
Semangat dua orang pemuda itu membakar untuk melaksanakannya demi memenuhi syarat yang ditawarkan oleh dua orang perempuan itu. Mereka bertekad untuk memanggal unta nabi Soleh. Mereka bergegas bertemu kelompok masing-masing sambil menyampaikan tawaran dua perempuan tadi. Tujuh orang dari angkatan pemuda mereka bersetuju terhadap tawaran itu, sehingga jumlah mereka menjadi sembilan orang. Jumlah itu sesuai sepertimana yang diterangkan dalam al-Qur’an. Mereka ini terkenal sebagai anak muda yang suka berbuat kejahatan seperti yang terdapat dalam surah an-Naml, ayat ke 48.
Sembilan orang pemuda itu cuba mendekati kabilah yang belum mendengari tawaran tersebut. Mereka menyampaikan rancangan mereka untuk memenggal unta nabi Soleh. Rancangan itu ternyata mendapat sambutan. Mereka segera berangkat mencari unta nabi Soleh. Setelah ditemui, Mushra segera melemparkan lembingnya. Lemparan lembing Mushra tepat mengenai bahagian kaki. Unta itu rebah. Beberapa orang perempuan bergegas datang dan menyesali perbuatan mereka membunuh unta itu. Wajah-wajah mereka nampak sedih dan menyesali tindakan mereka yang biadab itu. Mereka meminta Qadar menghunus pedang lalu dihunuskan kebahagian leher. Unta itu jatuh ke bumi dengan satu keluhan yang menyayat, bagai ia mengkhuatiri anaknya. Sekali lagi Qadar menikam dibahagian perut dan akhirnya memotong lehernya. Anak unta itu berlari menuju ke bukit yang berada tidak jauh dari tempat itu. Tiba-tiba ia mengeluh tiga kali.
Abdul Razak mengatakan riwayat yang diterima dari Mu’ammar dari seseorang yang mendengar percakapan al-hasan. Dia berkata bahawa ketika itu anak unta mengeluh sambil berkata: “wahai Tuhan! Dimana ibuku?”. Kemudian dia masuk kedalam batu-batu besardan keras dan lenyap disana. Adapula yang mengatakan bahawa anak unta itu turut dipanggal oleh mereka sebagaimana diterangkan didalam ayat yang bermaksud: “Maka mereka memanggil kawanya, lalu kawannya menangkap unta itu dan membunuhnya. Alangkah dasyatnya azabKu dan ancamaku”. (surah al-Qadar:29-30).
Dalam surah asy-syams Allah s.w.t. menyebut melalui firmannya yang bermaksud: “ Ketika bangkit orang yang paling celaka diantara mereka, lalu Soleh berkata kepada mereka: “Biarkanlah unta betina (milik) Allah itu dan juga minumannya. Mereka membunuh unta itu. Maka Tuhan menghancurkan mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Mereka dimusnahkan sehingga menjadi rata dengan tanah. Allah tidak takut (menyesali ) akibat dari tindakan-Nya.
Diterangkan bahawa ketika mereka membunuh unta itu beramai-ramai, orang yang memulakannya adalah Qadar bin Salaf. Semoga Allah s.w.t. melaknatnya. Mula-mula yang dilakukannya adalah urat besar dibahagian tumit (kaki). Unta itu rebah. Mereka segera merejamnya dengan pedang. Peristiwa yang amat tragis itu membuatkan anak unta itu ketakutan. Ia menjauhkan diri dan berlari menuju kebukit dan mengeluh tiga kali. Atas tindakan biadab mereka ini, Soleh a.s. berkata: “Silalah kamu bersuka ria dirumah-rumahmu selama tiga hari”. Ancaman ini pun dianggap main-main oleh mereka bahkan yang sukar diterima akal yang sihat ketika mereka hendak melaksanakan niat jahat untuk unta membunuh unta itu, sebelum itu mereka diminta bersumpah. “Bersumpahlah kamu dengan nama Allah, bahawa kita sungguh-sungguh akan menyerangnya serta keluarganya”.
Menyentuh tentang rancangan jahat mereka, al-Qur’an ada menyebut dalam ayat ke 49, surah an-Naml. Oleh sebab itu, sebelum mereka dapat melaksanakan rancangan kejahatan mereka untuk menganiaya Nabi Soleh dan keluarganya, Allah s.w.t. telah mengirimkan batu-batu yang menghujani mereka. Ketika itu jugalah kegagalan telah mendahului rancangan mereka. Peristiwa besar yang menimpa kaum Thamud itu terjadi pada hari khamis. Hari itu adalah permulaan kepada hari penantian. Wajah-wajah mereka berubah menjadi kuning sebagaiman yang diancam oleh nabi Soleh a.s.
Apabila waktu petang mereka dipanggil oleh pemimpin mereka supaya berkumpul dan mereka berkata: “Ingatlah! Hari kematian kita telah hampir”. Masuk hari kedua, iaitu hari takjil yang bertepatan dengan hari jumaat. Kali ini wajah mereka berubah menjadi merah, masuk waktu petang, mereka kembali menyeru kaumnya: “ Ingatlah! Dua hari kematian kita telah berlalu”. Masuk hari ketiga, iaitu hari bersenang-senang, yang bertepatan dengan hari sabtu. Kali ini wajah mereka berubah menjadi hitam. Apabila tiba waktu pagi di hari ahad, mereka memasak dan mempersiapkan diri sambil duduk menunggu azab yang akan menimpa mereka. Mereka tidak tahu bagaimana Allah s.w.t akan bertindak kepada mereka. Mereka tidak tahu dari mana datangnya seksaan yang akan dating.
Ketika matahari sedang bersinar, tiba-tiba terdengar suara mengegar dari atas disertai gempa bumi yang amat dasyat. Dalam waktu yang singkat sahaja mereka bergelimpangan mati. Mereka tidak mampu menahan gegaran suara yang menakutkan itu. Kebenaran telah terbukti, maka mereka menjadi longgokan-longgokan mayat yang bergelimpangan didalam rumah masing-masing. Mereka menjadi bangkai tanpa roh. Para ahli sejarah dan mutafassir mengatakan bahawa dalam waktu yang singkat itu, tidak ada seorang pun yang terkecuali dari mereka itu, kecuali perempuan yang tengah duduk ditempatnya. Dia bernama Kalbah binti as-Sulaq. Ada yang memanggil dia dengan nama Zariah. Dia terkenal dengan perempuan yang amat gigih mempertahankan kekafiran dan penentangan terhadap Soleh. Apabila melihat datangnya azab, kedu-dua kakinya lumpuh seketika. Dia berusaha bangun tetapi tidak berdaya. Dia merangkak bagai seekor binatang, sekelompok orang Badwi dating menghampirinya. Dia bercerita kepada mereka tentang tragedy yang menimpa mereka. Perempuan itu meminta air. Setelah diberi minum air dia menemui ajalnya sebagaimana yang menimpa kaumnya. Firman Allah s.w.t.: “ Seakan-akan mereka belum pernah tinggal ditempat itu. Ingatlah! Sesungguhnya kaum Thamud menggingkari Tuhanya. Ingatlah! Kum Thamud menemui kehancuran”. (surah Hud:68).[3]
KESIMPULAN
Kaum Thamud banyak melakukan dosa-dosa besar dengan menentang Allah s.w.t. dan Rasulnya, ketika dilarang menyakiti unta yang dijadikan tanda-tanda (kerasulan Soleh a.s.) kepada mereka. Malahan mereka mencederakan dan membunuhnya beramai-ramai. Mereka juga menentang dan mencabar supaya menurunkan azab dengan segera. Akibatnya seksaan itu berhak mereka terima. Adapun yang terakhir ini dapat disemak dari dua sudut: alasan kepada mereka sebagaimana dinyatakan oleh Allah s.w.t. dalam firmannya dalam surah Hud, ayat 64. dalam ayat lain juga dinyatakan melalui firmannya yang bermaksud: “kamu akan ditimpa azab yang besar suatu hari nanti”. (surah asy-syu’ara, ayat 156). Semua keterangan ini adalah benar dan cabaran mereka supaya menyegerakan azab. Mereka mendustakan Rasulnya yang datang dan disertai dalil-dalil qat’i atas kenabian dan kebenaraannya. Hal itu sebenarnya mereka ketahui tetapi kecenderungan mereka pada kekafiran. Kesesatan dan penentangan terhadap ajaran yang benar mengheret mereka jatuh kedalam keseksaan.surah ini juga bertujuan untuk memberi motivasi kepada manusia kearah ketaatan dan memberi peringatan supaya manusia tidak melakukan maksiat. Allah telah melaksanakan apa yang telah dijanjikan dan hukumannya kepada mereka tanpa sedikitpun takut akibat pembinasaan tersebut dari sesiapa pun.
BIBLOGRAFI
1) Kisah Para Nabi,Qaishashul Anbiya’ Ibratul Li Ulil Albab, cetakan pertama 2003.
2) Tafsir Al-Munir Juz Ammar, Dr. Wahbah Al- Zuhaily, Persatuan ulama’ Malaysia, Intel Multimedia And Publication, cetakan November 2001.
3) Tafsir Fi Zilalil Qur’an, Dibawah Bayangan al-Qur’an, Asy- Syahid Sayyid Qutub Rahimahullah, Warisan sdn. Bhd., Cetakan Pertama 2000, Jilid 17.


[1] Tafsir Al-Munir Juz Ammar, Dr. Wahbah Al- Zuhaily, Persatuan ulama’ Malaysia, Intel Multimedia And Publication, cetakan November 2001.
[2] Tafsir Fi Zilalil Qur’an, Dibawah Bayangan al-Qur’an, Asy- Syahid Sayyid Qutub Rahimahullah, Warisan sdn. Bhd., Cetakan Pertama 2000, Jilid 17.
[3] Kisah Para Nabi,Qaishashul Anbiya’ Ibratul Li Ulil Albab, cetakan pertama 2003.